عن أبي هريرة رضي الله عنه قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: كل سلامى من الناس عليه صدقة كل يوم تطلع فيه الشمس تعدل بين الاثنين صدقة وتعين الرجل في دابته فتحمله عليها أو ترفع له عليها متاعه صدقة والكلمة الطيبة صدقة وبكل خطوة تمشيها الى الصلاة صدقة وتميط الأذى عن الطريق صدقة. رواه البخاري ومسـلم.
Maksudnya: Daripada Abu Hurairah r.a., beliau berkata: Rasulullah SAW bersabda: setiap sendi tubuh badan manusia menjadi sedekah untuknya pada setiap hari matahari terbit. Kamu melakukan keadilan di antara dua orang (yang berselisih faham) adalah sedekah, kamu membantu orang menaiki kenderaan atau kamu mengangkat barang-barang untuknya ke dalam kenderaan adalah sedekah, perkataan yang baik adalah sedekah, setiap langkah kamu berjalan untuk menunaikan solat adalah sedekah dan kamu membuang perkara-perkara yang menyakiti di jalan adalah sedekah.
1. Sedekah ialah memberi sesuatu yang bernilai kepada seseorang.
2. Antara amalan sedekah yang terdapat dalam hadis:
(a) melakukan keadilan antara dua orang yang berselisih faham;
(b) membantu orang menaiki kenderaan atau mengangkat barang untuknya;
(c) mengucapkan perkataan yang baik;
(d) membuang perkara-perkara yang menyakiti di jalan seperti membuang duri atau ranting kayu yang menghalang perjalanan.
3. Adab-adab bersedekah:
(a) memberikan sesuatu dengan ikhlas, iaitu tanpa mengharapkan balasan;
(b) sesuatu barang yang disedekahkan itu adalah dari sumber yang halal;
(c) tidak mengungkit sedekah yang diberikan kepada seseorang.
4. Kesan amalan sedekah kepada pemberi sedekah:
(a) menjadi seorang yang pemurah;
(b) membersihkan diri daripada sifat kedekut dan bakhil.
5. Kesan amalan sedekah kepada penerima sedekah:
(a) dapat menikmati nikmat pemberian Allah SWT;
(b) memberi semangat untuk mempertingkatkan taraf hidup;
(c) memberi motivasi untuk berdikari dan berusaha mempertingkatkan taraf hidup.
6. Hikmat sedekah terhadap individu:
(a) mendapat keberkatan dan keredaan Allah SWT;
(b) dihormati dan dikasihi oleh manusia;
(c) jasanya akan dikenang.
7. Hikmat sedekah terhadap masyarakat:
(a) melahirkan masyarakat yang prihatin dan penyayang;
(b) meringankan beban masyarakat yang ditimpa musibah seperti mangsa banjir.
8. Pengajaran hadis:
(a) sedekah merupakan ibadat yang digalakkan dalam Islam;
(b) setiap amalan yang memberi manfaat kepada orang lain dikira sebagai sedekah jika dilakukan dengan ikhlas.
No comments:
Post a Comment